Si penderhaka yang mahu membela istana

Ahmad Tajdid
Thu | May 08, 08 | 8:39:38 pm MYT
Tiba-tiba negara digemparkan dengan teriakan para hulubalang. Masing-masing menghunus keris dan menjulang-julangnya ke udara. Rakyat menjadi gamam. Apa pula gerangan isunya hingga para hulubalang itu menjadi gempar dan mengamuk tidak tentu haluan.

Baru sebulan lalu, para hulubalang di negeri sebelah Timur berdemonstrasi di hadapan istana. Membuka langkah menghantar memorandum tidak berpuas hati dengan Majlis Pemangku Raja. Watikah bantahan dihantar mempersoalkan tindakan majlis melantik bendahara negeri yang tidak diperkenan parti para hulubalang.

Di masa yang sama, puluhan perajurit memegang kain pemidang bertulis “Kami mahu Deris binatang!”, “Kami sokong Deris sebagai bendahara”, “Kami tak mahu Md Said”. Banyak lagi kain pemidang yang ditayangkan di hadapan istana. Semuanya berunsur menghina dan menderhakai istana.

Selepas menghantar memorandum bantahan, para hulubalang itu bergerak ke kediaman rasmi bendahara dan membuat pengumuman penting.

Antaranya, jurucakap hulubalang mahu calon yang dipersetujui Yang Dipertua parti hulubalang diangkat sebagai bendahara. Jika calon lain diangkat istana, maka para hulubalang akan memberontak dan paling kurang pun meletakkan jawatan.

Begitulah tekad hulubalang. Apabila dingatkan sang warta bahawa hasrat para hulubalang untuk meletakkan jawatan akan menyebabkan mereka kehilangan jawatan itu buat seumur hidup, maka jurucakap para hulubalang penderhaka itu pun dengan gugup gagapnya berkata: “Errr… kami akan mengkaji semula hasrat kami itu, kami acah-acah aja…”

Kesudahan ceriteranya, hasrat para hulubalang itu tidak kesampaian, dan calon yang dipilih Majlis Pemangku Raja terus kekal sebagai bendahara.

Di sebuah negeri di utara Semenanjung, gegak gempita pemilihan bendahara juga berlaku. Calon daripada parti hulubalang mengamuk sakan kerana jawatan yang sepatutnya dianugerahkan kepadanya diberikan kepada orang lain.

Maka hulubalang itupun menghunuskan kerisnya ke udara mahu Yang Dipertua parti hulubalang bertegas melantiknya ke jawatan itu.

Watikah perlantikan telah diterima dan istana tiada hak mengetepikan watikah daripada parti hulubalang, jelasnya kepada sekumpulan sang warta.

Maka gegak gempita lah seluruh negara. Yang pekak datang bertanya. Yang bisu ternganga-nganga. Yang cacat datang bertongkat. Yang lumpuh berkerusi roda. Yang jahil menggeleng tak tahu apa-apa.

Akhirnya calon istana dipilih jua dan si hulubalang terpaksa menumpang rumah abang kakak kerana hilang tempat berteduh, setelah rumah rasmi diambil alih bendahara baru.

Tiba-tiba para hulubalang berbuat bising lagi. Kali ini angkara seorang bai tua berkerusi roda yang didakwa menghina istana. Bai itu dianggap biadap dan tak tahu adat Melayu kerana mempersoalkan titah Raja.

Ada seorang Melayu DKK yang punyai ilmu undang-undang menyifatkan si bai boleh didakwa kerana menghasut. Ada seorang Hulubalang Melayu DKA menuduh si bai sebagai biadap dan mencabar kedaulatan sultan. Maka si bai dianggap sombong dan bongkak setelah menang dalam pemilihan umum lalu.

“Parti hulubalang tidak pernah mempertikaikan titah istana. Kalau kita tak setuju pada istana, kita pergi menghadap sultan dan beritahu secara berbahasa,” kata hulubalang Melayu DKA kononnya.

Ramai pemimpin Melayu tulen parti hulubalang turut masuk campur. Ada yang sanggup mempertahankan istana dari kebiadapan si bai walaupun mereka tahu si bai hanyalah seorang tua yang lumpuh berkerusi roda.

Ada juga pemimpin pelajar penyokong parti hulubalang yang memberikan tarikh lupus kepada si bai untuk menarik balik kenyataannya. Jika tidak keris mereka akan bermandi darah.

Begitulah gegak gempitanya parti hulubalang “mempertahankan kedaulatan istana” yang konon-kononnya kini tidak selamat kerana dicabar si bai berkerusi roda.

Komen paling keras datangnya daripada mantan Yang Dipertua parti hulubalang. Hulubalang tua itu menakutkan rakyat tentang gambaran sebenar masa depan rakyat jika parti-parti sekutu si bai tua diberi mandat besar oleh rakyat untuk menerajui negara.

Ada cubaan untuk mengaitkan parti muslim, sekutu parti si bai dalam kancah isu penderhakaan itu.

Bagaimanapun dua pemimpin kanan parti muslim dilaporkan sang warta mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak memberikan sebarang ulasan berhubung isu itu.

Ialah. Sikap pemimpin parti muslim itu difahami kerana sang warta mahir dalam kepandaiannya memutarbelitkan kenyataan pemimpin parti lawan parti hulubalang.

Seorang pemimpin Melayu tulen pernah dianggap murtad dan menggadai agama kerana memakai sigah kaum kadazan yang berlambang salib. Hasilnya, parti pemimpin Melayu tulen itu kalah teruk dalam pemilihan umum.

Bagaimanapun kemajuan teknologi siber menjadikan rakyat benar-benar celik isu.

Dalam hingar bingar sang hulubalang menghunus keris dan menjulangnya ke udara kerana kononnya mahu membela istana; hamba rakyat tertanya-tanya.

Bagaimana mungkin hulubalang yang berpakat mengurangkan kuasa para sultan ketika mereka di puncak kuasa boleh dipercayai untuk membela istana?

Bagaimana mungkin perajurit-perajurit hulubalang yang menghina istana dan sultan dengan lafaz kata “binatang” boleh lebih dibela dan diberi muka berbanding seorang bai tua yang hanya mahukan penjelasan tentang batas kuasa istana?

Bagaimana mungkin penghulu hulubalang yang menghunus keris mahu mengamuk ke saentero negeri kerana tidak dipilih sebagai bendahara, tiba-tiba mahu mendabik dada sebagai pembela istana?

Bagaimana mungkin hulubalang yang membawa lari puteri raja untuk dinikahinya di seberang negeri, kemudian diceraikan sesuka hati, mampu memelihara maruah istana dan raja negeri?

Bagaimana mungkin parti penderhaka boleh menjadi pelindung institusi raja-raja?

Maka si pekak, si bisu, si lumpuh dan si jahil yang pada mulanya geram menatap Utusan Warta, mencampak akhbar itu jauh-jauh dan berkata: “Kita tertipu lagi rupanya. Mana mungkin si penderhaka boleh jadi Sang Setia!”

Maka mereka pun pulang ke rumah membuka TV dan menonton rancangan “akademik fantasia” dan “jom buat-buat heboh”.

Nota: Cerpen pendek ini hanyalah saduran peristiwa semasa. Watak dan latar belakang kejadian hanyalah rekaan dan tiada kena-mengena dengan mereka yang masih hidup atau meninggal dunia.