Rakyat yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah diberikan jaminan peluang yang sama (equal opportunities) untuk bekerja di dalam pejabat kerajaan tempatan, negeri atau pusat. Tiada soalan anda menyokong parti mana di dalam temuduga untuk mendapatkan pekerjaan.

Saya adalah sebahagian daripada jutaan rakyat Malaysia yang cintakan ketelusan dan reformasi di dalam sistem demokrasi di tanah air. Saya juga menyertai himpunan 100,000 rakyat pada 10 November lepas, bukan di Kuala Lumpur, tetapi di sebuah pekan kecil di United Kingdom.

Bukan saya seorang sahaja di UK yang menyatakan solidariti kami bersama Bersih, tetapi banyak lagi rakan-rakan yang berbuat demikian. Himpunan aman juga diadakan di Pejabat Kedutaan Malaysia di London.

Saya mula bekerja di sebuah syarikat gas dan minyak di sini sejak 7 tahun yang lalu. Sejak emas hitam ditemui di North Sea, ramai rakyat Malaysia sama ada berbangsa Melayu, Cina dan India mencari rezeki di sini. Saya tinggal agak berjauhan dengan masyarakat Malaysia yang lain. Ada beberapa orang pekerja dan pelajar daripada Malaysia yang selalu melawat saya pada hujung minggu. Sebahagian mengetahui kecenderungan politik saya dengan melihat akhbar Harakah dan Suara Keadilan, serta buku-buku mengenai landskap politik Malaysia di ruang tamu rumah saya. Sama seperti rakan-rakan setugas dari Malaysia yang lain, majoriti kami muak dengan kecacatan sistem demokrasi dan politik di negara sendiri.

Saya berpengalaman kerja di dalam industri minyak di Malaysia lebih 10 tahun sebelum datang ke UK. Hidup bermasyarakat dengan rakyat British sedikit sebanyak mengajar kami erti demokrasi dan keterbukaan yang sebenarnya. Saya telah terlibat dalam sistem pilihan raya di United Kingdom sebanyak dua kali. Sebagai rakyat negara Komanwel, kita diberikan hak untuk membuang undi di negara yang pernah menjajah kita dahulu. Bukannya niat saya untuk mengagungkan British.

Banyak perkara di sini yang saya amat tidak bersetuju, terutamanya dasar luar negara serta beberapa tindakan yang mencetuskan fenomena Islamophobia di kalangan penduduk tempatan. Tetapi di dalam sistem pilihan raya, saya berpandangan yang Britain boleh menjadi contoh yang perlu diikuti oleh Malaysia . Sistem pilihan raya di sini amat telus. Semua parti tanpa termasuk parti pembangkang dan calon bebas diberikan ruang yang sama untuk bertanding. Setiap hari kita boleh melihat hujah-hujah daripada pemimpin pemerintah dan pembangkang di media cetak dan elektronik. Akhbar pembangkang tidak pernah disekat.

Semasa tempoh berkempen, setiap calon diperuntukkan masa untuk menyatakan manifesto mereka di dalam televisyen saluran perdana. Padang perlawanan adalah sama rata. Tidak hairanlah parti yang memerintah di sini saling bertukar ganti. Dan tidak hairanlah juga Britain menjadi negara maju dan mempunyai skor integriti yang terlalu tinggi kerana rakyat dididik dengan erti kebebasan dan demokrasi, yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada ruh Islam. Ketelusan sistem pembuangan dan pengiraan undi juga tidak boleh dipertikaikan di sini. Tidak timbul masalah pengundi hantu, kerana mereka memanfaatkan rekod penduduk yang didaftarkan di dalam jabatan kerajaan dengan sebaik mungkin.

Petugas pilihan raya juga adalah profesional, bukannya diambil daripada balaci daripada parti pemerintah seperti yang diamalkan di tanahair kita. Suruhanjaya pilihan raya memainkan peranan bukannya untuk memenangkan parti pemerintah, tetapi berperanan untuk memastikan siapa hak berhak menang perlu diberikan kuasa memerintah. Selain isu pilihan raya, amalan politik di sini juga amat berbeza. Sebagai contoh, di sini, rakyat yang menyokong parti pembangkang tiada masalah untuk mendapatkan kerja. Rakyat yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah diberikan jaminan peluang yang sama (equal opportunities) untuk bekerja di dalam pejabat kerajaan tempatan, negeri atau pusat. Tiada soalan anda menyokong parti mana di dalam temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Ini berbeza dengan temuduga di beberapa jabatan kerajaan di Malaysia, terutamanya untuk bekerja sebagai pensyarah dan guru. Soalan spot yang wajib ditanya ialah anda menyokong parti mana? Sekiranya anda tidak bersetuju dengan kerajaan, tiada masalah untuk mengkritik kerajaan secara terbuka di tempat kerja anda.

Anda juga diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyuarakan ketidakpuashatian anda terhadap dasar kerajaan. Para pelajar juga diberikan jaminan peluang yang sama (equal opportunities) untuk mendapatkan biasiswa tanpa menilai kecenderungan politik keluarga dan pelajar itu sendiri. Nilai intelektual mereka dihargai dengan tidak diikat dengan akta universiti yang menyekat perkembangan minda kritikal dan analitikal. Mahasiswa di sini bebas untuk memperjuangkan ideliasme parti pembangkang di dalam aktiviti dan program di kampus. Yang disekat, hanyalah mahasiswa Malaysia sahaja. Dalam media cetak dan elektronik, setiap hari rakyat British berpeluang untuk mendengar dan membaca idea kesemua pemimpin pro-kerajaan dan pembangkang. Ini sekali gus dapat mendidik rakyat yang terbuka dan cergas pemikirannya.

Sungguh berbeza dengan media di Malaysia, semuanya dikawal oleh parti pemerintah. Sudahlah capaian di dalam media awam dinafikan, penerbitan media pembangkang pula disekat. Di UK, mereka bijak membezakan antara jentera kerajaan dengan jentera parti. Tetapi di Malaysia, kerajaan zalim Barisan Nasional bermaharajalela dengan menggunakan setiap jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka. Semasa Tony Blair bersara daripada menjadi Perdana Menteri, semua media termasuk ‘media kerajaan’ iaitu BBC bebas untuk mengkritik beliau, sehinggakan setiap satu aset, rumah dan harta beliau didedahkan kepada rakyat untuk dinilai oleh mereka. Begitu juga dengan penggantinya, Gordon Brown. Tiada satu akhbar pun yang mengampu.

Saya juga kecewa dengan sikap tidak cerdik pemimpin Umno yang datang ke sini. Antaranya ialah campur tangan di dalam aktiviti mahasiswa. Datang sebagai pemimpin negara, tetapi apabila bersuara, membawa agenda parti Umno. Pengecut dengan perkembangan mahasiswa di luar negara, lalu dikenakanlah pelbagai undang-undang dan sekatan. SB diletak di sana dan di sini. Dikhayalkan dengan menyokong dan membantu program hiburan yang tidak membina. Apabila individu-individu yang ikhlas membuat program agama seperti sekolah Malaysia di beberapa kawasan di sini, maka dirompak program tersebut kononnya program itu adalah program Kelab Umno Luar Negara. Sedangkan satu sen dan setitik peluh pun mereka tidak sumbangkan. Apa yang pemimpin Kelab Umno Luar Negara tahu ialah membuat program hiburan, hiburan dan hiburan. Tidak cerdik sungguh.

Justeru, saya bersama-sama dengan ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai himpunan Bersih menyeru agar pembaharuan sistem pilihanraya dan amalan demokrasi di tanahair dilakukan segera. Ramai yang bekerja di luar negara tidak mahu pulang ke tanahair kerana kebobrokan yang jelas dilakukan oleh parti pemerintah sekarang. Ketika Najib mengulas mengenai perhimpunan Bersih yang memungkinkan berlakunya kacau bilau seperti rompakan di kedai-kedai berhampiran tempat perhimpunan, sedarkan anda yang sudah berapa billion RM duit rakyat telah dirampas oleh mereka untuk memenuhkan perut kroni seterusnya membiarkan rakyat papa kedana ? Masa untuk perubahan telah tiba. Sedarlah wahai rakyat Malaysia .

-dipetik dr detikdaily